Anda tercari-cari cara yang menyeronokkan untuk mengajar anak-anak bagaimana kuasa bateri dapat menggerakkan mainan dan alat kegemaran mereka? Kami ada jalannya! Usah bimbang, kini kami kongsikan empat eksperimen bateri yang menarik untuk anda buat di rumah, anda boleh asah minda anak-anak kecil yang penuh rasa ingin tahu. Sama ada membuat bateri daripada kentang sehinggalah membina sistem motor yang ringkas, aktiviti amali ini mudah disediakan dan sangat berguna untuk meneroka asas-asas elektrik dengan anak-anak anda. Selain itu, aktiviti sedemikian sudah tentu akan mencetuskan kreativiti dan minat anak-anak untuk mengetahui cara benda berfungsi!
1. Sel bateri syiling & cuka (timbunan voltan)
Perkenalkan anak anda kepada bateri pertama di dunia dengan eksperimen bateri menggunakan duit syiling di rumah. Dengan hanya menggunakan beberapa keping syiling, cuka, dan kadbod, anda boleh bina timbunan voltan dengan mudah, inilah jenis bateri terawal hasil ciptaan oleh Alessandro Volta.
Eksperimen sebegini merupakan cara terhebat untuk menunjukkan sejauh mana bateri boleh menghidupkan peranti kecil, dan boleh menjadi projek yang meriangkan untuk menunjukkan pengaruh jenis bahan terhadap penjanaan elektrik. Anak-anak anda akan kagum apabila melihat timbunan syiling dan cuka boleh nyalakan LED ataupun membunyikan pembaz (buzzer)!
Bahan Yang Diperlukan:
- Syiling tembaga (kira-kira 5-6 keping)
- Wasir (washer) zink atau paku tergalvani
- Cuka
- Kadbod
- LED atau pembaz (buzzer)
- Wayar
Langkah-langkah:
- Potong cakera kadbod: Guna syiling untuk surih (trace) dan potong cakera kecil kadbod.
- Rendam dalam cuka: Rendam cakera kadbod di dalam larutan cuka selama beberapa minit.
- Tindan bahan: Mulakan dengan kepingan syiling, letakkan cakera kadbod yang direndam cuka di atasnya, diikuti dengan wasir atau paku zink. Ulang tindanan, diselang-selikan dengan kepingan syiling, cakera kadbod rendaman cuka dan wasir zink.
- Pasang wayar: Pasang wayar di atas kepingan syiling dan letak kepingan zink di bahagian bawah.
- Sambungkan ke LED atau pembaz: Pasang hujung wayar yang satu lagi ke LED atau pembaz kecil, kemudian lihat nyalaan atau bunyi dengung yang terhasil!
2. Eksperimen jam dengan bateri daripada kentang
Eksperimen bateri daripada kentang tak pernah lapuk ditelan dek zaman! Hanya dengan sebiji kentang, beberapa wayar dan sedikit paku, anak-anak anda boleh cipta bateri yang berfungsi dengan elok. Sambungkan ke jam digital, dan lihat wajah seorang demi seorang berseri keriangan apabila jam tersebut mula berdetik.
Eksperimen ini bagus untuk menerangkan asas-asas yang membolehkan bateri berfungsi, iaitu dengan menggunakan tenaga kimia yang terkandung di dalam kentang untuk menjana elektrik. Projek ini ringkas dan amat mudah, lebih-lebih lagi apabila ubi kentang yang selalu kita masak kini bertukar menjadi sumber kuasa!
Bahan Yang Diperlukan:
- 2 biji ubi kentang besar
- 2 kepingan syiling
- 2 paku tergalvani
- 3 wayar dengan klip buaya
- Jam digital kecil
Langkah-langkah:
- Susun tembaga dan paku: Letak kepingan syiling pada sebelah sisi ubi kentang dan paku tergalvani ke satu lagi sisi ubi kentang.
- Sambungkan kentang: Guna wayar dengan klip buaya untuk sambungkan satu sisi ubi kentang ke kepingan syiling pada sisi kentang di sebelah lagi.
- Pasang jam: Sambungkan dua wayar, satu dari kepingan syiling dan satu lagi dari paku ke terminal positif dan negatif jam digital.
- Saksikannya berfungsi: Jam dikuasakan dengan kentang akan mula berdenting!
3. Motor elektrik ringkas
Dengan bekalan asas seperti bateri, beberapa potong wayar, dan magnet, anda kini boleh hasilkan motor elektrik mudah dengan anak-anak di rumah. Eksperimen ini merupakan cara yang bijak untuk menunjukkan cara tenaga elektrik menggerakkan sesuatu.
Apabila arus mengalir melalui wayar, hal ini mewujudkan medan magnet yang berinteraksi dengan magnet, sekaligus menjadikan motor berputar. Demonstrasi yang cukup mengujakan ini menerangkan prinsip apabila tenaga elektrik dan medan magnet bersatu, tenaga yang terhasil berupaya menggerakkan barangan harian seperti kipas mahupun kereta mainan.
Bahan Yang Diperlukan:
- Bateri AA
- Wayar tembaga (kira-kira 20 cm)
- Magnet bulat kecil
- Klip kertas
- Pita elektrik
Langkah-langkah:
- Buat gegelung: Lilit wayar tembaga di sekeliling bateri beberapa kali untuk menghasilkan gegelung yang kemas. Pasangkan wayar kira-kira 2 cm pada hujung kiri dan kanan untuk buat sambungan.
- Lekatkan klip kertas: Bengkokkan klip kertas menjadi bentuk U dan pasang pada kedua-dua hujung bateri. Bahagian ini akan bertindak sebagai sokongan untuk gegelung anda.
- Letakkan magnet: Letakkan magnet di atas bateri.
- Seimbangkan gegelung: Letakkan gegelung pada penyangga klip kertas supaya seimbang dan boleh berputar dengan bebas. Pastikan hujung wayar menyentuh klip kertas.
- Lihatnya berpusing: Apabila arus mengalir, gegelung akan mula berputar, hal ini menunjukkan tenaga elektrik boleh menghasilkan gerakan!
4. Panel solar DIY
Sekarang, tingkatkan keseronokan bereksperimen ke tahap seterusnya dengan projek panel solar DIY. Ajar anak-anak anda tentang tenaga boleh diperbaharui dengan mencipta peranti kecil berkuasa solar. Dengan menggunakan beberapa sel solar, wayar dan bateri kecil, anda boleh bina panel solar yang memanfaatkan kuasa matahari untuk menjana elektrik dengan mudah.
Aktiviti ini sangat berguna untuk memperkenalkan konsep tenaga lestari, menunjukkan sejauh mana cahaya matahari boleh ditukar menjadi kuasa elektrik untuk mengecas bateri atau membolehkan peranti kecil berfungsi. Cara yang menarik ini menggabungkan sains dengan aplikasi dunia sebenar, di samping mempromosikan amalan yang mesra alam.
Bahan Yang Diperlukan:
- Sel suria kecil
- Wayar
- Bateri boleh dicas semula kecil
- Pita elektrik
- Kadbod atau papan kayu kecil
Langkah-langkah:
- Sediakan sel solar: Susun sel solar pada sekeping kadbod atau papan kayu, lekatkannya dengan pita.
- Sambungkan wayar: Sambungkan wayar dari sel suria ke terminal positif dan negatif bateri boleh dicas semula tersebut.
- Kemaskan sambungan: Guna pita elektrik untuk memastikan semua sambungan kemas dan stabil.
- Letakkan di bawah cahaya matahari: Letakkan set solar di bawah pancaran cahaya matahari dan biarkan sel suria mengecas bateri.
- Uji kuasa ciptaana anda: Setelah dicas, guna bateri untuk menghidupkan peranti kecil seperti lampu LED.
Eksperimen dengan menggunakan bateri di rumah ini bukan sahaja memberi pendedahan pada dunia bateri yang menarik tetapi turut menawarkan peluang yang baik untuk ibu bapa meluangkan masa dengan anak-anak meneroka sains bersama-sama. Setiap eksperimen, sama ada eksperimen bateri dengan menggunakan kentang ataupun bateri dengan kepingan syiling, aktiviti ini menunjukkan cara amali untuk mempelajari tentang elektrik, tindak balas kimia dalam bateri, dan tenaga. Usaha ini menggalakkan rasa ingin tahu dan sifat suka belajar dalam minda anak-anak kecil, inilai hadiah yang tidak ternilai buat mereka yang sedang membesar, jadikan aktiviti ini sebagai titik permulaan yang sempurna!
Untuk dapatkan lebih banyak aktiviti berilmiah yang menyeronokkan untuk dinikmati dengan anak-anak, lihat siaran blog bertajuk 5 Aktiviti yang Merancakkan Keseronokan untuk Kanak-kanak di Musim Panas!