Rumah merupakan tempat dimana anda serta orang tersayang berasa sangat selamat dan dilindungi. Walau bagaimanapun, malang tidak berbau. Sekiranya anda membuat persediaan, ia mampu memberikan anda lebih masa untuk melarikan diri, berpindah ke tempat yang lebih selamat, dan melindungi perkara yang paling berharga bagi anda — iaitu keluarga dan nyawa. Jelasnya, terdapat pelbagai cara untuk mengelakkan rumah daripada kebakaran. Salah satunya cara yang paling mudah adalah dengan menggunakan alat pengesan asap. Malah, ia merupakan pelaburan terbaik untuk keselamatan isi rumah.
Mengapa pengesan asap penting sebagai langkah keselamatan isi rumah?
Pemasangan alat pengesan asap adalah penting kerana ia berfungsi untuk mengeluarkan amaran terhadap kebakaran sepanjang masa. Kebanyakan kes kebakaran yang membawa maut berlaku semasa ahli keluarga sedang tidur. Hal ini menyebabkan mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk berpindah keluar dari tempat kejadian. Alat pengesan asap yang berfungsi dengan baik akan segera mencetuskan bunyi yang nyaring apabila terjadinya kebakaran supaya seluruh isi rumah terdengar, lalu memberikan mereka beberapa minit yang berharga untuk meninggalkan rumah dengan selamat.
Bagaimanakah caranya untuk memasang alat pengesan asap yang dikendalikan oleh bateri?
Pemasangan alat pengesan asap kelihatan seperti suatu perkara yang rumit. Namun begitu, pemasangan alat pengesan asap berkuasa bateri sebenarnya sangat mudah berbanding alat pengesan asap yang mempunyai sambungan wayar. Sesiapa sahaja mampu memasang alat tersebut kerana ianya mudah seperti menukar mentol lampu. Anda hanya memerlukan tangga dan gerudi untuk meletakkan plat asas alat pengesan asap tersebut pada dinding. Seterusnya, anda hanya perlu meletakkan bateri yang diperlukan pada tapaknya dan meletakkan penutup. Setelah itu, kerja anda sudah selesai.
Bagaimanakah pengesan asap dikuasakan?
Alat pengesan asap boleh dikuasakan sama ada melalui bateri atau tenaga elektrik isi rumah. Pengesan asap yang dikuasakan oleh bateri lebih mudah dipasang dan lebih dipercayai memandangkan ia kekal berfungsi semasa dalam keadaan kritikal (contohnya semasa berlakunya gangguan bekalan elektrik). Oleh yang sedemikian, pemilihan bateri yang sesuai dengan perkakas anda adalah penting untuk memastikan alat pengesan asap berkuasa bateri anda beroperasi dengan baik.
Bagaimanakah caranya untuk memilih bateri yang tepat untuk alat pengesan asap?
Alat pengesan asap dengan bateri (terbina dalam) yang bertahan selama 10 tahun
Alat pengesan ini dikuasakan oleh bateri litium (terbina dalam) dengan jangka hayat selama 10 tahun. Kebaikan produk ini adalah anda tidak perlu menggantikan bateri selama 10 tahun - atau sehinggalah ia tidak berfungsi lagi. Ia akan mengeluarkan amaran yang menunjukkan bahawa pengesan asap tersebut telah mencapai akhir hayat dan ini menandakan anda perlu melakukan penggantian. Namun begitu, kelemahan produk ini ialah harganya mencecah 1-2 kali ganda lebih mahal daripada pengesan asap yang dikendalikan oleh bateri yang boleh diganti. Malahan, seluruh peranti perlu diganti apabila baterinya lemah atau pengesan tidak berfungsi.
Pengesan asap dengan bateri yang boleh diganti
Harga penggera jenis ini lebih berpatutan dan mesra bajet berbanding alat sebelum ini. Kebanyakannya, alat pengesan asap ini dikuasakan oleh bateri beralkali 9V dan AA, namun terdapat juga sebahagian model yang menggunakan bateri sel syiling. Pemilihan bateri yang sesuai untuk pengesan asap anda mungkin menjadi proses yang mengelirukan kerana terdapat pelbagai jenis bateri di pasaran. Oleh yang sedemikian, kami telah merumuskan jadual di bawah untuk membimbing anda dalam pemilihan bateri yang sesuai bagi peranti keselamatan kebakaran anda:
Jika anda masih belum pasti bateri mana yang harus dipilih, anda dinasihatkan untuk memilih bateri yang dibangunkan khusus untuk pengesan asap dan ianya haruslah mematuhi piawaian keselamatan. Bateri GP zink karbon dan alkali dinilai serta diuji demi kebolehpercayaannya, dan telah memperoleh pensijilan UL217 bagi Standard Penggera Asap Keselamatan (UTGT.S3277).
Pastikan rumah anda kekal selamat dengan bateri pengesan asap GP
Bagaimanakah cara untuk mengekalkan bateri pengesan asap anda?
- Lakukan pemeriksaan terhadap penggera anda sekurang-kurangnya sebulan sekali - dengan menekan butang 'test' (ya, pemeriksaannya semudah itu!) untuk memastikan operasi berjalan dengan baik.
- Lap dan bersihkan alat pengesan asap secara kerap untuk menyingkirkan habuk yang boleh mengakibatkan amaran palsu.
- Sekiranya anda mempunyai lebih daripada satu alat pengesan asap di rumah anda, tukar semua bateri peranti tersebut pada masa yang sama.
- Jika anda menggunakan alat pengesan asap yang dikendalikan oleh bateri, bateri peranti tersebut hendaklah digantikan setiap 6 bulan - 1 tahun; atau mengikut tempoh yang dicadangkan oleh pihak pengilang alat pengesan asap itu.
- Pastikan anda sentiasa mengendalikan bateri dengan betul dan secara bertanggungjawab selepas ianya digunakan. Rujuk kembali pada blog kami sebelum ini untuk mengetahui tentang tip pengendalian bateri serta cara yang betul bagi pelupusan bateri dengan lebih lanjut.
- Akhir sekali, sensor haba dan asap yang berusia (lama) menjadi kurang sensitif. Oleh itu, pastikan anda menggantikannya apabila ia telah mencecah 10 tahun.
Adakah alat pengesan asap anda berbunyi "bip" setiap minit?
Alat pengesan asap akan berbunyi secara berkala apabila baterinya sudah lemah. Mekanisme ini memberikan amaran kepada anda supaya bateri peranti tersebut digantikan.
Bagaimanakah cara untuk menggantikan bateri alat pengesan asap?
Jika anda terdengar alat pengesan asap mengeluarkan amaran atau berbunyi bip, ia menunjukkan bahawa masa untuk menggantikan baterinya sudah tiba.
- Tanggalkan penutup pengesan asap dengan memutarkannya secara perlahan-lahan dan tanggalkan sebarang pin kalis gangguan.
- Keluarkan bateri 9V atau AA dari tempatnya dan gantikan bateri litium atau bateri beralkali GP baharu pada penutup keselamatan.
- Pasang dan kunci penutup pada tapak pengesan asap tersebut, serta letakkan semula sebarang pin kalis gangguan.
- Tekan butang 'test (ujian)' pada permukaan alat pengesan asap itu untuk menguji sama ada bateri tersebut beroperasi dengan betul atau tidak.
Tidak kiralah alat pengesan mana yang anda pilih, sentiasalah memilih peranti yang mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa. Ingatlah bahawa penyelenggaraan alat pengesan asap yang betul mampu menyelamatkan nyawa dan mencegah potensi tragedi. Oleh yang sedemikian, janganlah kita leka dan alpa dengan perkara yang melibatkan kebakaran – sentiasa pastikan api dimatikan apabila anda berada di luar rumah, jangan merokok di dalam rumah, dan utamakan pendidikan awal kanak-kanak tentang perkara ini kerana ia jua penting. Dalam kehidupan kita, tiada jaminan 100% bahawa kebakaran tidak akan berlaku. Namun begitu, jika anda memberi perhatian terhadap langkah berjaga-jaga dan melengkapkan peranti keselamatan kebakaran, hal ini akan membantu mengurangkan risiko kebakaran rumah serta melindungi perkara yang berharga bagi anda.